ANGKARA CEMBURU, SUAMI TIKAM ISTERI BERTUBI-TUBI

KOTA KINABALU: Seorang lelaki bertindak menikam isterinya bertubi-tubi sehingga mati, di sebuah gerai sayur di Jalan Pahlawan, Kepayan di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt Kalsom Idris berkata, kejadian yang berlaku kira-kira 1.30 tengahari itu melibatkan mangsa, 38, yang sedang bekerja sebagai pembantu kedai di kawasan berkenaan sebelum didatangi suspek.
Suspek yang merupakan warga asing bertindak menikam beberapa kali di bahagian belakang mangsa menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan diri.
“Wanita yang parah itu kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulan namun mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.21 petang,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Kalsom bagaimanapun berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berjaya memberkas suspek di Jalan Kepayan, 8.30 malam tadi.
Tambahnya, motif kejadian dipercayai akibat cemburu dan pihaknya turut merampas sebilah pisau yang digunakan suspek.
“Suspek telah direman bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.—AlHijrah Online