ANJUR KUMPULAN WANG KUTU DI FACEBOOK, PENJUAL NASI LEMAK BERDEPAN HUKUMAN PENJARA

KUANTAN: Seorang penjual nasi lemak hari ini disaman di Mahkamah Sesyen Kuantan atas pertuduhan menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu dengan menggunakan laman sosial Facebook dua tahun lalu.

Norjaimah Kamarudin, 36, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Ibu kepada tiga anak itu disaman kerana menganjurkan kumpulan wang kutu kepada lima individu yang tidak dikenali dengan setiap peserta dikehendaki membayar sejumlah wang tunai kepada kumpulan tersebut yang mana aktiviti itu tidak dibenarkan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di rumahnya di Taman Guar Perahu 2, Kubang Semang, Pulau Pinang antara bulan Januari hingga Ogos 2018 lalu.

Dia disaman mengikut Seksyen 3 Akta (larangan) Kumpulan Wang 1971.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd Iqbal Mohd Yusoff memohon supaya mahkamah membenarkan tawaran ikat jamin terhadap Nor Jaimah.

Permohonan itu atas alasan hukuman yang diperuntukkan di bawah kesalahan ini adalah tinggi.

Bagaimanapun, peguam OKS, Gunamalar Joorindanjn membantahnya atas alasan anak guamnya bukan dituduh dalam kes jenayah.

Gunamalar turut memohon mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Butterworth, Pulau Pinang kerana kebanyakan saksi berada di negeri terbabit.

Hakim Siti Aminah kemudiannya memutuskan tidak membenarkan sebarang ikat jamin.

Sebutan semula kes 29 September depan. — AlHijrah Online

Leave a Reply