ASEAN PERLU BEKERJASAMA DEMI MASA DEPAN DUNIA DIGITAL NEGARA ANGGOTA


Jalinan Kerjasama negara-negara ASEAN dalam pemeteraian Pelan Induk Digital ASEAN (ADM2025) berhubung dengan penjanaan ekonomi digital dalam perkongsian teknologi sistem maklumat baru-baru ini adalah suatu anjakan paradigma yang boleh memberi kesan pragmatik kepada dunia ASEAN.
Berikutan cabaran penularan pendemik COVID-19 beberapa tahun mendatang ini pasti memberikan suatu gambaran keperluan drastik dalam kalangan negara-negara ASEAN menambah baik teknologi sistem maklumat yang menjadi teras perhubungan ekonomi digital bagi setiap anggota negara.
Perkembangan teknologi maklumat yang bersandarkan kepada sistem ekonomi digital ini disifatkan oleh Menteri-menteri Komunikasi ASEAN dalam persidangan tersebut sebagai suatu pemacu kerjasama yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan kebangkitan ekonomi 5.0 yang mencetuskan fenomena banyak peluang pekerjaan dalam dunia digital dan perindustrian teknologi tinggi di rantau ASEAN dan antarabangsa.
Tidak menghairankan sekiranya dunia teknologi digital hari ini telah banyak mengubah landskap pekerjaan dalam sektor perindustrian yang menggantikan khidmat tenaga sumber manusia kepada teknologi rebotik yang lebih murah dan produktif walaupun hal ini mendapat tentangan daripada pertubuhan-pertubuhan NGO dunia.
Justeru itu, jalinan kerjasama ASEAN dalam membentuk suatu lingkaran perkongsian data amat diperlukan bagi mengimbangi keperluan sumber manusia sejagat dengan kebangkitan teknologi robotik dalam dunia pekerjaan hari ini.
Ini termasuklah membuat penambahbaikan terhadap sistem sekuriti data digital atau internet yang sering menjadi ancaman kepada dunia teknologi maklumat kerajaan dan perniagaan di rantau ASEAN.
Selain itu, penambahbaikan terhadap capaian Internet 5G juga merupakan suatu cabaran terhadap kebangkinan dunia digital ini yang menyaksikan perluasan teknologi Internet di sepelusuk kawasan dalam rantau ASEAN dengan menggunakan teknologi capaian yang murah, berkesan dan meluas.
Kebangkitan teknologi maklumat berprestasi tinggi ini juga merupakan teras kepada sumber penjanaan rantaian ekonomi digital dalam kalangan negara-negara ASEAN untuk mengukuhkan penguasaan pemasaran maklumat dan mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia, lebih-lebih lagi apabila negara akan merebut peluang perluasan ekonomi pemasaran global yang telah lama terkesan akibat penularan Covid-19 ini.
Fenomena ini juga memerlukan sokongan negara-negara ASEAN untuk menyasarkan teknologi rangkaian maklumat ini kepada komuniti.
Satu hal lagi ialah kesediaan negara-negara ASEAN untuk bekerjasama mendirikan suatu empayar rangkaian teknologi pendidikan digital yang dibangunkan secara drastik bagi memenuhi keperluan pendidikan bersemuka atau fizikal yang terjejas akibat daripada era pandemik ini.
Fenomena ini dengan sendirinya mewujudkan suatu perkongsian rantaian teknologi pembelajaran dan pengajaran berasaskan kepada keperluan insfrastruktur yang lengkap bagi menampung keperluan internet dan kandungan maklumat versatile boleh dinikmati oleh para pengguna seluruh dunia.
Bayangkan lebih banyak universiti atau pusat Pendidikan digital akan dibina dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan pelajar yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pengajian kerana pembatasan pergerakan sepanjang era pandemik ini.
Dalam erti kata lain, kerancakan dunia pendidikan digital ini akan menyaksikan suatu fenomena pertembungan industri pendidikan yang dimonopoli oleh empayar perniagaan pendidikan global yang bersaing untuk memiliki reputasi tinggi. Memandangkan bidang pendidikan ini tidak membataskan kepada instrastruktur fizikal, kendalian pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat dalam talian, menggunakan kos yang lebih efisyen dan ruang mobiliti yang lebih memudahkan proses pendidikan ini.
Justeru, negara-negara ASEAN seharusnya bangkit memberikan komitmen tinggi untuk memelihara kelestarian jalinan perdagangan ilmu ini dengan mengambil peluang secara optimum menguasai bidang perdagangan digital ini dengan lebih optimis terhadap penyediaan lebih banyak ruang dan peluang untuk menembusi industri IT berkemahiran tinggi.
Keghairahan berlumba memperoleh peluang rentas perdagangan digital ini juga seharusnya mengambil kira kelestarian pertumbuhan sektor ekonomi di peringkat industri kecil dan sederhana dalam kalangan rakan-rakan negara ASEAN bagi meneruskan budaya perniagaan sektor tempatan yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan dan serantau ASEAN secara berterusan.
ASEAN juga harus komited terhadap pelaburan dalam sumber manusia melibatkan penjanaan perniagaan digital, kandungan dan aplikasi untuk memastikan pelaburan digital ini dapat bertahan dalam tempoh masa yang panjang dan berdaya saing dengan dunia rangkaian digital antarabangsa.
Namun pada hakikatnya perkembangan pesat ekonomi digital belum mampu mengatasi masalah pengangguran penduduk dunia terutamanya kepada golongan yang ketinggalan memperoleh ilmu teknologi maklumat dan berkemahiran teknologi tinggi dalam pekerjaan.
Lebih banyak strategi harus ditumpukan kepada mengimbangi keperluan sumber manusia hari ini dengan memberikan lebih banyak kepentingan kepada aspek inovasi dan kreativiti mencipta bidang pekerjaan baru hari ini dan akan datang nanti. — AlHijrah Online
Penulis adalah pensyarah kanan yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan Komunikasi, Media dan Industri Kreatif, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) UPM.
Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.