Baca al-Quran bendung sikap negatif

KUALA NERUS – Mendekatkan diri dengan al-Quran bukan sahaja mampu membentuk peribadi mulia malah membacanya juga mampu membendung sikap negatif dalam kalangan remaja.
Bagi pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Dato’ Haji Abbas, Kuala Terengganu, Uzair Iman Ngah, 16, istiqamah dengan kalam Allah itu menghindarkan diri dari gejala sosial.

Kata Uzair, ramai dalam kalangan remaja seusianya terjebak dengan pelbagai masalah sosial seperti rempit, seks bebas dan sebagainya disebabkan kurangnya pegangan agama di dalam hati mereka.
Justeru penganjuran World Quran Hour secara serentak ini dilihat sebagai platform tepat buat umat Islam menghargai al-Quran, di samping menyambut kemerdekaan dengan ayat al-Quran yang merupakan rahmat dari Ilahi.
“Saya dapat memupuk diri saya untuk lebih cekap dan lebih cinta kepada al-Quran. Sebagaimana kita lihat sekarang ini remaja cenderung kepada melakukan perkara-perkara yang mungkar seperti merempit, merokok atau sebagainya. Saya kira sifat mencintai al-Quran dan mengikut Sunnah Rasulullah S.A.W yang ada dalam diri saya adalah tanda satu kemerdekaan dalam diri saya sebagai seorang pelajar”, katanya.

Manakala seorang lagi murid dari sekolah yang sama, Nazirah Khairuddin, 16, berkata, program ini sedikit sebanyak membantunya mendisiplin diri dalam membaca al-Quran dengan lebih kerap.
“Program ini dapat mendisiplin diri saya dan mendekatkan saya dengan al-Quran dan kandungannya (al-Quran), dan juga program dapat memerdekakan kami semua daripada sifat malas yang terdapat dalam diri kami,” katanya.
Menurut Pengurus Besar Tabung Haji Hotel & Convention Center, Engku Morris Engku Hussin berkata, World Quran Hour merupakan penyertaan kali pertama hotel ini, dan merupakan salah satu program daripada aturcara hotel dalam menyambut Hari Kemerdekaan dan sambutan Maal Hijrah 1440H pada tahun ini.

“World Quran Hour ini adalah kali pertama kita buat, dan Insha Allah lepas ini kita akan jadikan sebagai satu program tetap kami”, katanya.
Seramai 110 peserta daripada Yayasan Pembangunan Keluarga, Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), SMA Dato’ Haji Abbas dan pekerja hotel telah terlibat dalam membaca al-Quran pada hari ini.
Surah yang dibaca ialah surah al-Fatihah ayat 1 hingga 7, surah al-Baqarah ayat 1 hingga 5 dan surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 serta ayat 100 hingga 110.