Orkid dan bonsai tema Royal Floria Putrajaya 2019

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melawat sekitar Taman Botani pada Majlis Perasmian Royal Floria Putrajaya 2019 hari ini.

PUTRAJAYA – Festival Bunga dan Taman DiRaja Putrajaya atau Royal Floria Putrajaya (RFP) akan berlangsung esok hingga 8 September 2019, bertemakan “Mother of All Gardens” dengan menampilkan orkid dan bonsai sebagai bunga tema festival.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, RFP 2019 kali ini memilih orkid dan bonsai kerana ia menampilkan koleksi yang unik dengan gabungan nilai ekstetik serta artistik yang sesuai dipersembahkan dalam suasana taman botani.

“Ia sekaligus diharap dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi yang ditawarkan oleh teknologi alam pembangunan dan pengurusan industri landskap, pertanian terutamanya industri floriakultur dan hortikultur yang mampu menjadi industri bernilai tinggi”, katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Royal Floria Putrajaya 2019, di sini pagi tadi.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan lebih 500 ribu pengungjung hadir sepanjang penganjuran pameran ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Al-Mustain Billah bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Dalam pada itu, RFP 2019 membawa koleksi baharu iaitu orkid hibrid yang diberi nama “Vanda Queen Azizah Iskandar” bersempena dengan nama Raja Permaisuri Agong.

RFP 2019 juga akan mempamerkan lebih satu juta kuntum bunga-bungaan dari pelbagai spektrum warna termasuk 500 variasi spesies orkid, serta lebih 100 koleksi bonsai. 70 pameran taman dengan pelbagai tema dan reka bentuk turut ditampilkan melibatkan 43 pameran taman luar dan 21 pameran taman dalaman.

Selepas 10 tahun bertapak dan ‘berkampung’ di Anjung Floria, Presint 4, buat julung kalinya festival berkenaan menukar lokasinya ke Taman Botani, Presint 1.

Orang ramai boleh melawat Taman Botani dengan menggunakan ‘buggy’ dan tiket masuk pameran RFP 2019 berharga RM5 bagi dewasa dan RM2 bagi kanak-kanak.

Turut disediakan ialah perkhidmatan teksi air yang membolehkan pengunjung menikmati panorama Putrajaya untuk ke Taman Botani melalui jeti yang terdapat di beberapa lokasi terpilih seperti di Cruise Tasik Putrajaya dan Kelab Tasik Putrajaya.

Leave a Reply