BAJET 2022: PEMBERIAN KHAS RM500 BAGI IMAM, BILAL, SIAK, GURU KAFA

Sumber Gambar: AFP

KUALA LUMPUR: Pemberian khas sekali bayar atau ‘one-off’ sebanyak RM500 bagi Imam, Bilal, Siak, Noja, Marbut, Guru Takmir dan Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, aspek pengimarahan syiar Islam menjadi tumpuan dalam Bajet 2022.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Di bawah payung pendidikan Islam, kerajaan akan melaksana inisiatif antaranya membina sebuah Sekolah Menengah Agama di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kos keseluruhan projek berjumlah RM 65 juta.

“Meluaskan skop pengajaran Takmir di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kepada agensi-agensi Kerajaan seperti Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan menambah 1,000 orang Guru Takmir,” katanya dalam pembentangan Bajet 2022, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Sementara itu, kerajaan akan memperkasa wakaf sebagai instrumen agihan semula kekayaan bagi pembangunan ekonomi ummah dengan menyalurkan dana permulaan RM10 juta.

Tambahnya, dana permulaan tersebut bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal PKS, Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.–AlHijrah Online

Leave a Reply