BAKAL JEMAAH HAJI MUSIM LEPAS DIBERIKAN KEUTAMAAN PADA 2022

Sumber: ARKIB AFP

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji Malaysia yang menerima giliran pada 2020 akan diberikan keutamaan pada musim haji akan datang.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, mereka yang mendapat giliran pada 2020 yang diberi keutamaan sebelum ini untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, bakal diberi keutamaan pada 2022.

Tambahnya, bagi bakal jemaah haji yang gilirannya pada tahun ini (2021), mereka turut diberi peluang pada tahun 2022 tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji bagi musim 1442H selepas Arab Saudi memutuskan ibadat haji hanya untuk warganegaranya dan penduduk negara lain yang telah berada dalam Arab Saudi sahaja.

Beliau mewakili kerajaan Malaysia akur serta menghormati keputusan yang dibuat kerajaan Arab Saudi.

Ujar Amrin, rakyat Malaysia yang bermastautin di Arab Saudi boleh memohon melalui Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi menunaikan haji tahun ini.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada kriteria pemilihan dan prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

Keputusan yang dibuat Arab Saudi jelas menunjukkan keprihatinannya dengan mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak COVID-19.

“TH amat berterima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi yang sentiasa memberi kerjasama baik kepada Malaysia dan amat prihatin dalam urusan ibadat haji jemaah negara ini sejak dahulu,” katanya.

Dalam masa yang sama, TH menasihatkan umat Islam di Malaysia untuk tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.

TH juga memohon semua bakal jemaah haji untuk bersabar dan menerima keputusan itu dengan reda serta terus berdoa agar keadaan kembali pulih bagi membolehkan urusan haji diteruskan pada musim-musim hadapan.–AlHijrah Online

Leave a Reply