BAPA CALON SPM MAUT DIREMPUH KERETA DEPAN SEKOLAH

MACHANG: Seorang pemandu lori maut akibat dirempuh sebuah kereta selepas menghantar anak lelakinya ke sekolah bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Insiden berlaku di Kilometer 6, Jalan Machang-Pasir Puteh, pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu melibatkan mangsa, Zainudin Ab. Samat, 56, yang meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Supt Ganti Jimmy berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa menghantar anaknya di pintu pagar sekolah kemudian melintas jalan untuk kembali ke lorinya.

“Akibat jarak yang terlalu dekat, sebuah kenderaan jenis Volvo dipercayai tidak sempat mengelak hingga berlaku pelanggaran menyebabkan mangsa tercampak dan terjatuh di lokasi kemalangan.

“Mangsa tidak sedarkan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya.

Ujarnya, pemandu kereta Volvo berusia 54 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan saringan ujian kencing juga negatif.

Mayat mangsa telah dihantar ke hospital Machang bagi bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.—AlHijrah Online

Leave a Reply