SOP SOLAT TARAWIH MUNGKIN LEBIH LONGGAR

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan ibadat solat sunat Tarawih dibenar dilaksanakan di masjid dan surau di seluruh negara pada bulan Ramadan yang bakal tiba.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata, prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan ibadat berkenaan juga mungkin lebih longgar.

Jelasnya, setakat ini SOP tersebut masih belum diputuskan namun operasi masjid dan surau akan berjalan seperti biasa walaupun jumlah kes COVID-19 di Malaysia melepasi 20,000.

“Garis panduan mungkin menggunakan SOP sedia ada atau dilonggarkan. Ia bergantung kepada keadaan dan nasihat KKM kemudian kita akan berbincang dengan pihak berkuasa agama negeri,” katanya selepas diminta mengulas SOP imarah masjid dan surau sepanjang Ramadan.

Ujar Idris, SOP yang dikeluarkan KKM nanti akan dibincangkan bersama pihak berkuasa agama Islam negeri bagi tindakan lanjut mengikut negeri masing-masing.

“Insyaallah imarah masjid tahun ini akan berjalan. Kita doa kepada Allah SWT agar penularan COVID-19 tidak serius. Kalau semakin teruk, kita akan ikut nasihat KKM dan bila sudah ada SOP baharu, kita akan jaga elok-elok,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply