BEKAS KAKITANGAN JPN BERDEPAN 13 TUDUHAN PALSUKAN DOKUMEN

KOTA KINABALU: Seorang bekas kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah dihadap ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini hari ini, atas 13 pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan mengeluarkan sijil lahir.

Tertuduh Mohd Sofian Ishak, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh hakim, Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dipercayai telah memalsukan buku rekod kesihatan ibu serta buku rekod kesihatan bayi dan kanak-kanak milik beberapa individu dengan tujuan menipu bagi mengeluarkan sijil lahir.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut sekitar bulan November 2012 hingga Februari 2013.
 
Dalam prosiding hari ini, pegawai pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkarnain Rousan Hasbi mencadangkan kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar nilai ikat jamin itu dikurangkan disebabkan tertuduh sudah tidak mempunyai pekerjaan tetap selain terpaksa menanggung isteri serta anaknya yang berusia tujuh bulan.
 
Hakim kemudian menetapkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan RM6,000  didepositkan hari ini bersama seorang penjamin tempatan.
 
Mahkamah menetapkan 22 April 2022 sebagai tarikh sebutan penyerahan dokumen.–AlHijrah Online

Leave a Reply