BAYI TUJUH HARI PUTUS TANGAN DIGIGIT ANJING

ALOR GAJAH: Seorang bayi perempuan yang baru berusia tujuh hari putus tangan kanan selepas digigit anjing peliharaan ahli keluarganya di Bachang, Melaka.

Kejadian sekitar jam 8.30 pagi, 8 september lalu itu berlaku ketika bayi yang berada di bawah jagaan ibu saudaranya ditinggalkan sebentar di ruang tamu berdekatan dengan pintu pagar rumah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, siasatan awal mendapati bayi itu diletakkan di ruang tamu dengan tujuan mendedahkannya kepada cahaya matahari bagi mengurangkan masalah penyakit demam kuning yang dialaminya.

Katanya, ketika kejadian bayi tersebut baru sahaja diberi susu oleh ibunya, sebelum tugas menjaga bayi itu diambil alih ibu saudaranya, sementara ibu bayi itu naik ke tingkat atas untuk berehat bersama suaminya.

Ibu saudara bayi itu telah meletakkan mangsa di atas bantal berdekatan pintu pagar yang ditutup rapat bagi menjemur bayi dan meninggalkannya seketika untuk mengambil air panas bagi memandikan mangsa.

Wanita itu kemudian terkejut apabila terlihat tangan kanan bayi tersebut sedang digigit oleh salah seekor anjing peliharaan milik suaminya di luar pagar rumah.

Dia kemudian menjerit sekuat hati sebelum jeritannya didengari ahli keluarga dan mereka bertindak membawa bayi itu ke sebuah pusat perubatan swasta untuk mendapatkan rawatan namun ditolak dan diminta merujuknya ke Hospital Melaka.

Sebaik tiba di Hospital Melaka, bayi berkenaan terus dibawa ke zon merah bagi mendapatkan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan doktor pakar.

Mengulas lanjut Mohd Nor Yhazid berkata, bayi tersebut kini sedang menjalani pembedahan di HKL dan siasatan lanjut mengesahkan anjing berkenaan milik suami kepada ibu saudara bayi berkenaan.

Anjing tersebut juga dipercayai dari jenis ‘Plott Hound’ dan telah dibiarkan tanpa diikat atau dikurung di kawasan rumah tersebut bagi tujuan menjaga kawasan rumah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001/289 Kanun Keseksaan. — AlHijrah Online.

Leave a Reply