BELANJAWAN 2021 MENGHARGAI WARGA MURABBI UMMAH

KUALA LUMPUR: Warga Murabbi Ummah yang terdiri daripada guru takmir, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), imam, bilal, noja, siak, dan marbut antara yang menerima perkhabaran gembira dalam pembentangan Belanjawan 2021 petang tadi.
Yang DIpertua Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Mohd Ajib Ismail berkata, Belanjawan 2021 yang turut menyentuh kebajikan para Murabbi Ummah seperti Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) memberi makna yang besar buat mereka yang terlibat.
“PKPU menyambut baik atas inisiatif pihak kerajaan dengan menyediakan caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO kepada guru takmir, imam, bilal, siak, noja dan marbut.
“Skim ini pasti memberi khabar gembira buat warga murabbi ummah tersebut yang sekian lama berkhidmat tanpa sebarang skim jaminan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu PKPU katanya mewakili seluruh warga murabbi ummah dari seluruh negara merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas keprihatinan pihak kerajaan menjaga kebajikan dalam keadaan negara masih lagi berjuang dengan pandemik COVID-19.
Selain itu Mohd Ajib berkata pihaknya juga gembira dan berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman bantuan khas kewangan RM600 kepada para penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk 3500 orang Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam JAKIM yang berkhidmat di seluruh negara.
“Bantuan ini sudah pasti sebagai menghargai sumbangan dan pengorbanan para penjawat awam yang turut bersoladariti bersama negara dalam mendepani cabaran pandemik yang melanda,” katanya. — AlHIjrah Online