BRUNEI KEMBALI KETATKAN AKTIVITI SOSIAL SELEPAS KES COVID-19 DIKESAN

Sumber Gambar: AFP

BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei kembali melaksanakan peraturan penjarakan sosial ketat selepas terdapat lapan kes baharu COVID-19 dikesan di negara itu.

Kes baharu itu terdiri daripada tujuh jangkitan tempatan dan satu kes import.

Menurut Kementerian Kesihatan Brunei, langkah kawalan dilaksanakan semula selama dua minggu, antaranya penutupan pusat keagamaan, pembelajaran dalam talian kembali berkuatkuasa, larangan ‘dine-in’ di premis makanan, pusat riadah serta pawagam ditutup.

Dalam perkembangan yang sama, Kementerian Kesihatan negara itu turut mewajibkan pemakaian pelitup muka dengan arahan berkenaan berkuatkuasa kepada semua individu tanpa mengira status vaksinasi.

Setakat ini, jumlah kes COVID-19 di Brunei mencatatkan jumlah 347 kes sepanjang pandemik itu melanda di negara tersebut.

Sebelum ini, Brunei mencatatkan rekod sifar jangkitan COVID-19 tempatan selama 457 hari sejak kes terakhir dilaporkan pada 6 Mei 2020 lalu.—AlHijrah Online

Leave a Reply