CAAM SAHKAN PESAWAT TERHEMPAS DI ELIMINA, SHAH ALAM, BAWA LAPAN PENUMPANG

SHAH ALAM, 17 Ogos — Situasi terkini berhampiran lokasi kejadian pesawat terhempas di Bandar Elmina dekat sini. Sebuah pesawat dilaporkan terhempas di atas jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Bandar Elmina, –fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Sejumlah enam penumpang dan dua krew penerbangan berada dalam pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor hari ini menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Ketika mengesahkan kemalangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dengan nombor pendaftaran N28JV itu, dikendalikan oleh Jetvalet Sdn Bhd.

“Pesawat berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2:08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Norazman berkata hubungan pertama oleh pesawat berkenaan dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang, ialah pada pukul 2:47 petang dan kebenaran mendarat telah diberikan pada pukul 2:48 petang.

“Pada pukul 2:51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah melihat asap dari lokasi nahas, namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut,” katanya dan menambah Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC), telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat.

Norazman berkata siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

Gambar dan video di kawasan kemalangan berhampiran kawasan kediaman itu, telah viral di media sosial. — AlHijrah Online

Leave a Reply