CELA SULTAN, POLIS BUAT APA? – RAIS YATIM

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Celaan terhadap institusi diraja perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berwajib dengan mengambil kira akta hasutan sebelum ianya menjadi lebih buruk.

Bekas Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim mempersoal tindakan acuh tak acuh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai pelbagai celaan yang berlaku di media sosial.

“Apa pihak berkuasa buat? Seperti biasa juga bila dah tertiarap baru terngadah.

“Sepatutnya kita mempunyai sistem preventif dahulu dan SKMM perlu memainkan peranan yang sangat aktif bersama PDRM.

“Tak guna PDRM kata sudah buka kertas siasatan. Ini tidak meyakinkan,”

Jelasnya cercaan terhadap institusi diraja di media sosial dapat menghancurkan sistem kenegaraan kita sendiri.

“Jadi selagi ada komponen penguatkuasa sebegini, selama itulah sistem diraja kita, sistem anti hasutan kita tidak berkesan sama sekali,” kata Tan Sri Rais.

Beliau juga melahirkan rasa kesal terhadap komen tidak bertanggungjawab terhadap Tuanku Sultan Muhammad V yang sebahagian besarnya datang dari kaum Melayu sendiri.

Perkara itu disifatkannya sebagai hilang adab dan budaya sebagai warganegara apabila rakyat kebanyakan sanggup mengaibkan pucuk tertinggi kepimpinan bangsa dan negara ini.

Mereka yang mencela institusi diraja boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 213 dan Seksyen 211 dalam akta komunikasi selain peruntukan kanun keseksaan.

AMBIL PENGAJARAN

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V

Peletakan jawatan sebagai Yang Di-Pertuan Agong merupakan yang pertama kali terjadi dalam sejarah sistem demokrasi raja berperlembagaan di negara ini sejak 1963.

Tan Sri Rais Yatim berkata, peristiwa itu seharusnya dijadikan pengajaran buat seluruh rakyat di negara ini.

“Dalam rentetan zaman dari merdeka sehingga kini belum pernah berlaku seseorang Yang Di-Pertuan Agong meletakkan jawatan.

“Dengan situasi yang sedemikian kita tidak ada pengalaman sebelum ini. Justeru langkah yang paling afdal pada hemat kita ialah supaya kita meneliti peristiwa ini sebagai pengajaran perlembagaan dan pengajaran budaya,” kata Tan Sri Rais.

Tambah beliau Perkara 32 dalam Perlembagaan jelas menyatakan bahawa Yang Di-Pertuan Agong berhak meletakkan jawatannya dengan syarat baginda perlu menulis surat sendiri yang dialamatkan kepada Majlis Raja-raja.

Katanya lagi surat itu tidak perlu menyatakan alasan sama ada sebab kesihatan, kekeluargaan atau lain-lain.

Justeru, peletakan jawatan oleh Sultan Muhammad V tidak harus mengundang spekulasi dan menimbulkan suasana curiga dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini kerana Yang Di-Pertuan Agong sentiasa tertakluk kepada peraturan dan hemah Majlis Raja-raja yang termaktub dalam perkara 38 Perlembagaan.

Leave a Reply