COVID-19: MALAYSIA TIDAK KEBAL – NOOR HISHAM

KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi berdepan peningkatan kes COVID-19 secara mendadak jika langkah berjaga-jaga tidak diambil.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

“Malaysia tidak kebal dan turut akan menjadi seperti negara luar yang mencatatkan jumlah kes tinggi COVID-19 jika kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ciapan di Twitter rasminya hari ini.

Dalam perkembangan lain Dr Noor Hisham memaklumkan 47 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan dua daripadanya adalah kes import.

45 kes tempatan kata Dr Noor Hisham melibatkan 31 kes di Sabah dan 14 kes di Kedah.

Penambahan kes baharu tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kini 9,915 kes.

Tiada kematian baru direkodkan dan jumlah korban kekal 128 orang. — AlHijrah Online

Leave a Reply