COVID-19: SATU LAGI KES KEMATIAN, 153 KES BAHARU, KUMULATIF 1,183 KES DI MALAYSIA

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan satu lagi kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan maut akibat wabak itu ialah empat orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, individu yang meninggal dunia itu adalah kes ke-238 iaitu lelaki warga Malaysia berumur 50 tahun daripada kluster jemaah tabligh.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection. Beliau telah diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan ketika dalam penjagaan di ICU.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari sejak kemasukan dan telah disahkan meninggal dunia pada 21 Mac jam 1:30 pagi,” katanya pada sidang media harian berkaitan COVID-19 di Putrajaya yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.

Semalam, beliau mengesahkan kematian ketiga akibat wabak COVID-19, apabila seorang lelaki tempatan iaitu kes ke-152 daripada kluster jemaah tabligh meninggal dunia di Hospital Tawau, Sabah. 

Selasa lalu, KKM mengesahkan dua kematian pertama akibat wabak COVID-19 di negara ini, melibatkan kes ke-178 dan kes ke-358, masing-masing di Johor dan Sarawak.

Kedua-dua kematian melibatkan warga tempatan membabitkan seorang jemaah tabligh berumur 34 tahun dan seorang paderi berusia 60 tahun yang mempunyai penyakit kronik.

Dr Noor Hisham berkata setakat 12 tengah hari tadi, 153 kes baharu positif COVID-19 yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif 1,183 kes.

Beliau berkata siasatan awal mendapati daripada 153 kes baharu dilaporkan hari ini, sebanyak 90 kes adalah dari kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling. 

Sehingga kini, seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 23 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham juga mengesahkan 19 kakitangan KKM dan lima petugas daripada fasiliti kesihatan swasta, disahkan dijangkiti COVID-19.

“Dua daripada 19 kakitangan KKM itu dirawat di ICU,” katanya menegaskan punca jangkitan bagi semua petugas kesihatan itu, bukan disebabkan ketidakpatuhan mengendalikan kes tetapi faktor risiko kontak rapat dengan pesakit. — AlHijrah Online

Leave a Reply