DAKWAH SANTAI TAPI SAMPAI – IDRIS AHMAD

PUTRAJAYA: Hampir 100 peserta  menyertai program dakwah santai menerusi Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pagi tadi.

Acara ekspedisi secara konvoi motosikal tersebut akan bergerak ke Pulau Pinang selama dua hari bagi menyantuni golongan yang terlibat dengan gejala sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata beliau berharap agar dakwah secara tidak formal ini akan mendekatkan lagi golongan tersebut kepada agama dan tidak membiarkan mereka berasa disisih oleh masyarakat Islam sendiri.

“Ini kita keluar untuk jalan-jalan sambil berdakwah untuk menyantuni golongan seperti mereka yang terlibat dengan komuniti juvana, Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), pesakit HIV dan AIDS serta Orang Kena Pengawasan (OKP) dadah.

“Kesemua mereka akan bersama-masa dalam slot usrah santai, gotong-royong masjid dan kubur serta beramah mesra agar dapat membina jaringan kerjasama mantap antara agensi agama, badan bukan kerajaan (NGO), penggiat industri serta setiap individu terlibat dalam usaha membanteras gejala sosial dalam kalangan komuniti,” katanya selepas pelancaran Flag Off Konvoi Kembara Hijrah Ekspedisi Jalanan Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera 2022 di Putrajaya pagi tadi.

Program tersebut melibatkan lebih 82 buah motosikal yang diterajui pasukan JAKIM, agensi-agensi kerajaan dan kelab permotoran di sekitar Putrajaya, Bangi dan Kuala Lumpur.

Peserta akan menjelajah sejauh 412 kilometer melibatkan enam hentian di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Idris berkata beliau yakin program seperti ini mampu memberikan kejayaan yangf diharapkan berdasarkan pengalaman program terdahulu di mana kebanyakan golongan sasaran tersebut dilihat semakin mendekati agama Islam dan sedikit sebanyak mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.

Tambahnya, program sebegitu akan diteruskan lagi pada masa hadapan susulan ia menepati inisiatif MANTAP yang diperkenalkan beliau iaitu Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam serta selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.

“Peranan inilah yang perlu dimainkan oleh agensi hal ehwal Islam untuk menyantuni semua pihak dalam kapasiti kemampuan kita. Tanggungjawab membendung masalah sosial ini merupakan tanggungjawab kita bersama,” katanya. – AlHijrah Online / Hanisa Hasanuddin

Leave a Reply