DISKAUN ELEKTRIK SEHINGGA 40 PERATUS BERMULA JULAI

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bil elektrik antara lima hingga 40 peratus.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, potongan harga itu akan mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

“Diskaun sebanyak 40 peratus akan diberikan kepada penggunaan elektrik bawah 200 kilowatt jam sebulan dan 15 peratus bagi penggunaan antara 201 hingga 300 kilowatt jam sebulan.

“Secara keseluruhan, rakyat akan mendapat diskaun berjumlah RM346 juta dan diskaun ini akan berkuat kuasa bagi tempoh tiga bulan mulai bil bulan Julai 2021,” katanya dalam Perutusan Khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini.

Tambahnya bagi sektor-sektor ekonomi yang terjejas khususnya pengendali hotel, taman-taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat pelancongan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan, dilanjutkan tiga bulan lagi diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi bil bulan Oktober hingga Disember 2021.

Menurut beliau dengan pemberian diskaun elektrik kepada pengguna domestik dan bukan domestik ini, kerajaan akan menanggung kos tambahan sebanyak RM1 bilion. – AlHijrah Online

Leave a Reply