DR MOHD DAUD BAKAR PENGERUSI MAIWP BAHARU

KUALA LUMPUR: Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) baharu, mula berkuat kuasa 10 Februari lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memaklumkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan pengerusi baharu itu bersama 21 ahli MAIWP baharu.

Penyerahan watikah pelantikan kepada mereka yang terlibat berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya semalam.

Mohd Daud yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia adalah seorang tokoh dan pakar kewangan Islam, selain aktif menjadi penasihat syariah institusi kewangan di peringkat antarabangsa seperti di Oman; Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE); Perancis dan London, England.

Zulkifli turut memaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Abdul Aziz Jusoh dilantik sebagai Timbalan Pengerusi MAIWP yang baharu.

“Ia selari dengan peruntukan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], seramai lima ahli ex-officio turut dilantik,” katanya.

Antara yang dilantik adalah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan mewakili Ketua Setiausaha Negara; Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun; Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin mewakili Ketua Polis Negara; Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah; dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Dalam masa yang sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail juga dilantik sebagai Setiausaha MAIWP, selaras dengan Akta 505.—AlHijrah Online

Leave a Reply