DUA EKOR ULAR SAWA BERAT LEBIH 300KG DITEMUI

MARANG: Penemuan dua ekor ular sawa batik yang keseluruhannya seberat lebih 300 kilogram (kg) mengejutkan beberapa pekerja di sebuah tapak pembinaan di Kampung Gong Nangka, Marang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abdul berkata, ular pertama seberat 250kg sepanjang kira-kira 5.8 meter ditemukan pada jam 2.00 petang manakala ular kedua seberat lebih 100 kilogram sepanjang 4.2 meter ditemukan pada jam 3.15 petang.

Katanya, kedua-dua ular tersebut ditemui berlingkar di dalam lubang oleh pekerja pembinaan ketika mereka sedang melakukan kerja-kerja penggalian tanah.

Mujahid berkata, sejurus menerima panggilan pertama, tiga anggotanya dikerahkan ke lokasi bagi menangkap haiwan tersebut dan ia berjaya ditangkap dalam masa 25 minit.

APM sekali lagi menerima panggilan pada jam 3.23 petang berhubung penemuan seekor ular sawa juga di lokasi sama.

Tiga anggota mengambil masa 14 minit bagi menangkap haiwan tersebut dan pihaknya dengan bantuan orang awam terpaksa mengangkat ular itu dengan menggunakan jentolak.

Katanya, kedua-dua reptilia itu akan diserahkan kepada Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman dalam masa terdekat dan beliau tidak menolak penemuan ular sawa tersebut adalah disebabkan habitatnya diganggu. –AlHijrah Online

Leave a Reply