KELUARGA PELAJAR GESA AMBIL TINDAKAN KEPADA GURU TIDAK VAKSIN

JITRA: Lebih 50 ibu bapa dan waris pelajar sebuah sekolah kebangsaan di Jitra melahirkan kebimbangan apabila mendakwa seorang guru wanita enggan divaksin, namun masih berada di sekolah berkenaan.

Mereka mendakwa walaupun guru itu sudah diasingkan dari mengajar dan ditempatkan di surau sekolah berkenaan, namun dia bergerak bebas di kawasan sekolah.

Berikutan itu, sebahagian ibu bapa dan waris menyatakan kerisauan kerana terdapat lebih 1,000 murid di sekolah berkenaan.

Waris, Mohd Hasbi Fadil berkata, mereka sudah pun membincangkan masalah itu dengan pihak Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan minggu lalu, namun setakat ini tiada tindakan diambil.

Mereka kemudian bersepakat untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada guru besar sekolah terbabit supaya dapat menukar guru wanita itu untuk keselamatan anak-anak mereka.

“Kita ambil tindakan ini bukan untuk merusuh tetapi untuk keselamatan anak-anak.

“Seperti mana SOP di premis kedai yang tidak benarkan mereka yang tidak divaksin untuk masuk, seperti itu juga yang sepatutnya dibuat di sekolah,” katanya.

Mohd Hasbi berkata, ibu bapa dan waris pelajar berharap pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Daerah membuat sesuatu bagi membendung masalah ini.

Selain itu, satu laporan polis juga dibuat ibu bapa dan waris pelajar sekolah terbabit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berhubung masalah itu. –AlHijrah Online

Leave a Reply