PEMUDA BERLAKON JADI OKU MOHON MAAF

KUALA LUMPUR: Pemuda yang berpura-pura menjadi orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan parkir memohon maaf atas tindakannya.

Mohamad Iswan Ishak menjelaskan, dia dan rakannya hanya melakonkan semula situasi orang yang salah guna parkir OKU.

“Kalau tengok balik, tempat parkir kereta itu bukan OKU punya. Ia parkir kereta biasa. Salah saya sebab di akhir video itu saya tidak mengatakan sesuatu perkara kita tak boleh dilakukan,” tambahnya.

Jelasnya juga video tersebut dibuat selepas mendapat permintaan daripada pengikut berstatus OKU yang meminta isu salah guna tempat letak kenderaan OKU diketengahkan.

“Saya pun berkawan dengan mereka. Jadi saya memohon maaf atas keterlanjuran ini. Saya minta maaf kepada semua OKU yang mungkin terasa, tapi itu bukan niat saya.

“Realitinya memang ada orang yang berlakon menjadi OKU untuk mendapatkan tempat parkir kereta,” katanya.

Susulan video yang tular, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi hari ini membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan orang kurang upaya.

Katanya permohonan maaf individu hina OKU itu diterima namun laporan polis tetap dibuat.—AlHijrah Online

Leave a Reply