DUA MAUT, LAPAN CEDERA DALAM NAHAS BAS PERSIARAN TERBABAS DI LPT 2

DUNGUN: Dua orang penumpang maut, manakala lapan lagi cedera selepas sebuah bas persiaran terbabas di Kilometer 375 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 dekat Ajil, Bukit Besi di sini awal pagi tadi.

Mangsa pertama yang meninggal di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Tan Poh Hwa, 42, seorang Pengurus kilang Honda dan mayat telah dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.16 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Bas yang membawa 30 penumpang itu dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan.

“Seorang mangsa yang cedera dihantar ke hospital berhampiran dengan jentera EMRS dan ambulans, manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata bomba.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Choo Chia Tan, 44, yang parah di bahagian dada meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun, pada 8.53 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati bas dinaiki 30 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan ke Jeti Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu untuk ke Pulau Redang.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas bas tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kanan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata mangsa lain yang cedera telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Dungun.

Katanya sampel air kencing dan darah pemandu bas yang berusia 26 tahun itu diambil untuk pemeriksaan.

“Ketika kejadian cuaca baik, jalan kering dan waktu subuh gelap tanpa lampu di tempat kejadian,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply