EMPAT PRINSIP ISLAM TANGANI MASALAH ALAM SEKITAR

GAMBAR SEKADAR HIASAN
(GAMBAR OLEH: Mohd RASFAN / AFP)

KUALA LUMPUR: Ketika dunia memberikan tumpuan kepada masalah COVID-19, isu perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar terus menimbulkan kebimbangan.

Berdasarkan laporan media, vaksin COVID-19 berkemungkinan akan tersedia tidak lama lagi dan memberi sinar kepada masalah yang telah meragut lebih 1.4 juta nyawa di seluruh dunia.

Namun menurut Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, sayangnya tiada ‘vaksin’ untuk isu perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar.

Pun begitu, ujar Tun Ahmad Sarji, terdapat beberapa prinsip Islam yang boleh dijadikan pegangan untuk menyelesaikan kedua-dua masalah tersebut.

“Prinsip pertama adalah khalq atau pencipta. Kesedaran terhadap sumber yang kita gunakan mempunyai pencipta agar manusia tidak mengeksploitasi sumber yang terhad, tetapi sebaliknya berusaha untuk memastikan ia digunakan secara lestari.

“Prinsip yang kedua adalah khilafah atau penjaga di mana manusia memainkan peranan sebagai pemegang amanah dan penjaga semua sumber di dunia dan memelihara kepercayaan yang diberikan oleh Allah SWT,” kata Tun Ahmad Sarji.

Prinsip seterusnya menurut beliau ialah mizan atau seimbang yang bermaksud pembangunan melibatkan sumber semula jadi perlu dipastikan tidak mengganggu keseimbangan yang dicipta Allah SWT untuk mengelakkan kehancuran.

Selain itu katanya satu lagi prinsip Islam untuk memelihara alam ialah syukur di mana manusia perlu menghargai atas nikmat yang dikurniakan dan bersama-sama melindunginya untuk generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pembukaan Persidangan Reaksi Agama Terhadap Isu Perubahan Iklim dan Pencemaran Alam Sekitar yang dianjurkan secara dalam talian oleh IKIM hari ini.

Persidangan tersebut menghimpunkan pakar-pakar alam sekitar berdiskusi berhubung isu dan langkah yang boleh diambil untuk memelihara alam demi kebaikan bersama. — AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply