TIDAK SANGGUP LIHAT JENAZAH ANAK, PASANGAN SUAMI ISTERI TINGGALKAN JENAZAH BAYI DEPAN MASJID

PETALING JAYA: Gara-gara tidak sanggup melihat jenazah anak dan tidak tahu cara pengurusan jenazah, sepasang suami isteri meninggalkan mayat bayi mereka yang berusia empat bulan di hadapan sebuah masjid di kawasan Sungai Way, Petaling Jaya.

Berdasarkan nota dipercayai ditulis oleh bapa bayi berkenaan, dia meminta pihak masjid menguruskan jenazah anaknya dan dikebumikan dengan cara Islam.

“Saya tidak tahu mengenai cara pengurusan jenazah ini. Saya jahil dan berdosa besar.

“Saya tidak sanggup melihat jenazah anak saya,” menurut nota yang ditinggalkan bersama jenazah bayi berkenaan.

Mayat bayi berkenaan ditemui imam masjid tersebut yang diletakkan di sebelah tayar kereta miliknya di hadapan masjid tersebut pada 22 November 2020 kira-kira 8.48 malam.

Berdasarkan Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt. Ku Mashariman Ku Mahmood, siasatan awal mendapati pengadu menjumpai mayat bayi perempuan tersebut di dalam bungkusan plastik berserta sehelai kertas tertulis nota meminta bantuan.

“Berdasarkan maklumat dan semakan rakaman CCTV di ruangan hadapan masjid, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya berjaya mengesan dan menahan dua suspek di sebuah bilik hotel di Jalan SS3/39 Petaling Jaya, Selangor.

“Suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 25 tahun dan seorang wanita warganegara asing berumur 26 tahun. Kedua-dua suspek mengaku meninggalkan mayat bayi perempuan mereka di hadapan masjid tersebut,” kata Ku Mashariman dalam kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan. — AlHIjrah Online

Leave a Reply