KERAJAAN CADANG PLKN DILAKSANAKAN SEMULA

GAMBAR ARKIB OLEH TENGKU BAHAR / AFP

KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan pada tahun 2018 dicadang untuk dilaksanakan semula oleh kerajaan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia kerana PLKN dilihat memberi kesan baik kepada pembentukan patriotisme remaja.

“PLKN dimansuhkan pada tahun 2018 oleh kerajaan sebelum ini (Pakatan Harapan).

“Namun demikian, berdasarkan kepada kesan program yang baik kepada pembentukan patriotisme remaja yang telah menyertai program ini, pihak kementerian akan mencadangkan kepada jemaah menteri agar program ini dilaksanakan semula,” Kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian ketika sesi Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail Sabri merujuk pertanyaan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang bertanya mengapa PLKN dihentikan dan mencadangkan program itu diteruskan semula.

Dalam pada itu ujarnya, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menawarkan pelantikan kontrak secara soft landing kepada 1,394 bekas pegawai lantikan kontrak Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan ditempatkan di pelbagai agensi atau kementerian bagi tempoh satu tahun mulai 2019 sehingga 2020.

Tujuan pelantikan tersebut ialah bagi memberi peluang kepada pegawai terlibat untuk menampung sara hidup mereka sebelum mendapat pekerjaan lain. — AlHijrah Online

Leave a Reply