FESTIVAL MADAD 2023: MAKANAN THAI, MADAD BERSELAWAT ANTARA TARIKAN BUAT PENGUNJUNG

SUNGAI PETANI: Festival Murtadha Dakwah Centre (MADAD) atau Festival MADAD 2023 membuka tirainya pada Khamis dengan sambutan luar biasa penduduk setempat dan dari seluruh pelusuk tanah air.

Antara yang menjadi tarikan utama adalah hidangan masakan Thailand yang dijamu khusus buat pengunjung menerusi Thai-Malay Food Festival yang dianjurkan.

Menurut Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusof, sepanjang 10 hari Festival MADAD berlangsung, Thai-Malay Food Festival akan menawarkan pelbagai makanan kepada pengunjung seawal jam 10 pagi hingga 12 tengah malam.

“Sejumlah 30 vendor makanan menyediakan pelbagai hidangan Thai sebagai tarikan yang unik buat pengunjung yang hadir ke Festival MADAD ini,” jelas Mohammad Yaakub Yusra.

Jelas Mohammad Yaakub Yusra, selain festival makanan, banyak aktiviti bermanfaat lain turut disediakan buat mereka yang hadir, dan ia akan berlangsung sehingga Sabtu minggu hadapan.

“Kita ada kuda, aktiviti memanah, malah di dalam kawasan masjid juga ada hotel untuk pengunjung berehat. Peminat kucing juga boleh tengok rumah kucing dan melihat pelbagai baka kucing yang dibela di sini.”

Sementara itu, pengunjung Festival MADAD, Nazrin Ghazali yang ditemui Alhijrah Online nyata gembira dengan penganjuran acara kali ini, lebih-lebih lagi dengan pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Saya nak ke rumah ibu saudara di Merbok, tetapi terlihat ada festival yang berlangsung, jadi saya singgah sekejap. Saya tahu MADAD ini tempat yang bagus, sesiapa pun boleh datang, untuk makan, untuk buat macam-macam aktiviti, semua orang boleh singgah ke sini,” jelas Nazrin.

Bagi peniaga, Norhafizah Ismail pula, peluang yang diberikan oleh MADAD ini merupakan satu platform yang terbaik dalam usaha memperkenal dan memperluaskan perniagaan mereka.

“Sangat baguslah, harap tahun depan atau pada bila-bila masa boleh panggil kami ke sini lagi untuk berniaga. Program macam ini wajar diteruskan,” kongsi Norhafizah kepada Alhijrah Online.

Festival MADAD yang bermula 16 November dan berakhir pada 25 November ini akan turut dimeriahkan dengan pelbagai program ilmiah bersama tokoh-tokoh ilmuan, serta ikon-ikon kemanusiaan yang didatangkan khas untuk berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing kepada pengunjung.

Turut berlangsung malam semalam adalah acara MADAD Berselawat.

Manakala itu, Kuliah Dhuha: Bidadari Dambaan Suami, Kuliah Maghrib: Haruman Syurga Di Palestina, ‘Parenting Talk’, MADAD Ritma Jiwa dan ‘Lepak Geng Utaqha’ turut mewarnai Festival MADAD kali ini.

Turut diadakan, Majlis Taalim dan rawatan syifa untuk pengunjung. –Alhijrah Online

Leave a Reply