Forum Air Malaysia mahu kerajaan ambil kira golongan B40


KUALA LUMPUR – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Forum Air Malaysia meminta supaya kerajaan mengambil kira nasib golongan B40 sekiranya berhasrat untuk menaikkan tarif air di negara ini.

Presidennya, Saral James Maniam berkata, pihaknya bersetuju supaya kenaikan tarif air dibuat pada ketika ini kerana terdapat laporan syarikat konsesi air berdepan dengan defisit apabila kos operasi lebih tinggi daripada pendapatan.

“Kita ada mendapat maklumat terdapat operator yang tidak mampu untuk membayar bil elektrik dan perkara ini sangat serius kerana terdapat kemungkinan mereka tidak dapat memberikan perkhidmatan dengan baik kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Saral berkata, terdapat loji-loji air yang sudah usang dan tidak dinaiktaraf dibimbangi boleh menjejaskan bekalan air sekiranya berlaku kerosakan yang serius.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat sama ada kenaikan tarif air ini nanti akan berikan kesan atau tidak kepada masyarakat, mungkin kerajaan negeri lain boleh memikirkan kaedah yang dilakukan di Selangor yang memberikan bantuan kepada golongan B40,” ujarnya.

Semalam, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli telah mendapat persetujuan daripada enam negeri untuk menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna.

Menurut kementerian, perundingan untuk menaikkan tarif air giat dijalankan kerana kadar berkenaan tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun. – SINAR ONLINE

Leave a Reply