GUNA SURAT ISTANA NEGARA PALSU UNTUK RENTAS NEGERI

KUALA LUMPUR: Dua individu ditahan polis kerana mengemukakan tiga surat dokumen rentas negeri dengan menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara yang disyaki palsu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, seorang wanita, 27 tahun dan seorang lelaki, 47 tahun ditahan semasa polis membuat rondaan bermotosikal di Jalan P Ramlee jam 10.30 malam tadi.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, wanita tersebut menyerahkan tiga keping surat dokumen rentas negeri yang disyaki palsu untuk digunakan bagi pelepasan rentas negeri.

“Surat tersebut menggunakan kepala surat atas nama Istana Negara, Jalan Tunku Abdul Rahman yang mana surat tersebut menjelaskan kebenaran daripada Duli Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya.

Mohamad Zainal mengulas, surat tersebut turut menyatakan wanita itu sebagai Datuk.

“Gelaran Datuk itu disyaki palsu, lelaki tersebut pula merupakan pembantu kepada suspek dan merupakan anak saudaranya,” katanya.

Semakan rekod jenayah ke atas wanita tersebut mendapati suspek pernah terlibat dengan siasatan di bawah Seksyen 489(C) Kanun Keseksaan dan 420 Kanun Keseksaan pada tahun 2017 dan 2018.

“Kedua-dua individu itu kini direman tiga hari bermula Selasa sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

–AlHijrah Online

Leave a Reply