GARA-GARA CEMBURU SEORANG REMAJA DIPUKUL BERAMAI-RAMAI

IPOH: Gara-gara cemburu, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dibelasah sekumpulan remaja lain di sebuah gerai kosong di Kampung Gajah, Perak.

Kejadian pukul yang tular di media sosial itu memaparkan beberapa orang lelaki telah memukul dan menendang mangsa sambil dipercayai dirakam salah seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Perak, SAC Anuar Othman berkata, susulan itu polis menahan 10 remaja berusia 13 hingga 18 tahun semalam, termasuk seorang pelajar perempuan bagi membantu siasatan.

Menurut SAC Anuar, siasatan mendapati kejadian disebabkan mangsa menunggang motosikal sambil dibonceng remaja perempuan dikatakan teman wanita salah seorang suspek.

Ujar beliau, mangsa bagaimanapun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana pusat perubatan selepas kejadian.

Katanya, tujuh pakaian yang dipakai suspek berdasarkan rakaman video terbabit serta telefon bimbit yang digunakan untuk merakam kejadian telah dirampas.

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply