GURU KAFA SELANGOR ENGGAN VAKSIN BERDEPAN RISIKO DITAMAT PERKHIDMATAN

SHAH ALAM: Sebanyak 57 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang masih enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 walaupun telah digantung tugas berdepan risiko ditamatkan perkhidmatan, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata tindakan tersebut perlu diambil bagi mengelak pelajar-pelajar KAFA terdedah kepada risiko dijangkiti COVID-19.

“Kita sudah maklumkan ini lebih awal dan menyarankan agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil langkah-langkah termasuk mengadakan konsultasi, beri amaran dan surat mengenai risiko ini (penggantungan dan penamatan perkhidmatan). 

“Selepas beberapa proses, mereka ini betul-betul tegar walaupun sudah diulang beberapa kali mengenai risiko yang bakal dihadapi mereka. Kita hormati pendirian mereka tetapi untuk langkah tertentu yang membawa risiko kepada anak-anak dan guru lain di sekolah, kita tidak mahu ambil risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama dalam Perkongsian Data Kuantiti dan Kualiti Air antara Lembaga Urus Air Selangor dengan agensi berkepentingan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Menurutnya, guru-guru berkenaan telah diingatkan mengenai perkara penamatan perkhidmatan itu sejak Ogos dan September tahun lepas.

“Bagaimanapun, tindakan itu bukanlah dilakukan secara tergesa-gesa sebaliknya mengikut proses tatatertib penjawat awam,” katanya.

Amirudin berkata guru KAFA yang digantung tugas berkenaan boleh kembali bertugas sekiranya mereka mematuhi arahan jabatan untuk mengambil vaksin.    

Semalam, media melaporkan 57 guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 dikenakan tindakan gantung tugas selama dua bulan mulai Mac ini.—AlHijrah Online

Leave a Reply