HANYA 14 PREMIS SEMBELIHAN MILIKI SIJIL HALAL DI SELANGOR

SHAH ALAM: Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merekodkan 329 daripada 343 premis sembelihan di Selangor belum memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sehingga Januari 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata 329 premis berkenaan berada di bawah pemantauan JAIS dan antara halangan premis-premis tersebut memiliki sijil halal ialah kebanyakan aktiviti sembelihan dibuat di atas tanah pertanian.

“Tetapi perkara ini boleh dibincangkan nanti bagaimana mereka ini boleh dipindahkan ke premis-premis industri supaya kurang dari segi pencemaran.

“Mungkin ada sisa-sisa daripada sembelihan seperti darah, dan sebagainya dapat diurus dengan baik. Jadi ini matlamat kita untuk memberikan alam sekitar yang lebih baik,” katanya.

Oleh itu beliau menyarankan semua pengusaha pusat sembelihan agar mencari lokasi yang lebih sesuai dan lebih selamat bagi memohon lesen sijil halal.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Anugerah Premis Sembelihan Halal Terbaik Negeri Selangor 2022 di Shah Alam Convention Center (SACC).

Mengulas mengenai penganugerahan tersebut, program dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) dan JAIS itu julung kali diadakan dan Selangor negeri pertama yang menganjurkannya.

Tambahnya, program itu bertujuan menghargai pemilik premis sembelihan yang mendapat pengiktirafan Sijil Halal Malaysia di Selangor agar konsisten mematuhi syarat dan peraturan serta melaksanakan operasi sembelihan haiwan halal secara patuh syariah dan halalan toyyiban. –AlHijrah Online

Leave a Reply