GUNA 3 JENGKAUT, 4 LORI BERSIHKAN LUMPUR BANJIR DI RUMAH

HULU TERENGGANU: Seorang penduduk di Kampung Belukar Bukit, di sini terpaksa menggunakan tiga buah jengkaut dan empat buah lori bagi membersihkan kawasan rumahnya yang dipenuhi kayu dan lumpur akibat banjir luar biasa pada Ahad lalu.
Elmin Nawang, 43, berkata, walaupun menggunakan jentera-jentera berkenaan namun jumlah kayu hanyut yang terlalu banyak serta berlumpur akan mengambil masa yang lama untuk dibersihkan.
Katanya jengkaut dan lori tersebut disediakan oleh pelbagai pihak termasuk rakan-rakan, orang kampung dan beberapa sukarelawan yang membantu.
Ujar Elmin, sejak dari semalam banyak lori berulang-alik mengangkut kayu yang berselerakan, namun sehingga ke hari ini masih belum selesai.

Elmin berkata rumah yang didiami bersama ibunya Endon Ismail, 67, dan ayahnya Nawang Mohamad, 70, sejak 15 tahun lalu ditenggelamkan lumpur yang setinggi hampir dua meter.
Katanya, amat mustahil untuk membersihkan keseluruhan rumah tersebut kerana lumpur serta pasir telah menjadi keras dan bercadang untuk membina rumah baru.
Banjir pada 11 pagi Ahad lepas katanya berlaku dengan pantas bersama arus deras dan lumpur serta kayu-kayu dari bukit mengalir ke Sungai Kilang di belakang rumahnya.
Namun dia bersyukur kerana ketika kejadian ibu bapa dan ahli keluarganya telah keluar untuk berlindung di rumah jiran setelah hujan lebat turun tanpa henti.

Katanya, mereka kini menumpang di rumah ibu saudara dan tidak pasti sehingga bila memandangkan kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa yang lama. –AlHijrah Online