YAYASAN MAGHFIRAH SASAR BANTU LEBIH 40,000 ORANG PADA RAMADAN

KUALA LUMPUR: Yayasan Maghfirah menyasarkan agihan bantuan Ramadan berjumlah RM1.5 juta yang akan memanfaatkan lebih 40,000 penerima menerusi Kempen Raikan Ramadan.
Bagi Ramadan tahun ini, agihan akan turut diperluas ke negara Timur Tengah iaitu di Mesir dan Lubnan.
Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Muhammad Shuib Noruddin, sasaran agihan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun 2021.
“Alhamdulillah dengan sumbangan orang ramai, pada Ramadan yang lepas, Yayasan Maghfirah telah berjaya mengagihkan bantuan Ramadan sebanyak RM 1.2 juta kepada asnaf di 15 buah PPR sekitar lembah Klang, pusat perlindungan dan kebajikan, para petugas barisan hadapan, rumah anak-anak yatim, pusat-pusat tahfiz dan lain-lain dengan anggaran lebih 35,000 orang penerima manfaat,” katanya.
Tambah Muhammad Shuib, Kempen Raikan Ramadan dengan tema ‘Berkongsi Rezeki, Manisnya Memberi’ menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM 5 juta pada tahun ini dan agihannya akan diteruskan pada bulan-bulan berikutnya pada tahun 2022.
Bagi menjayakan kempen ini, Yayasan Maghfirah menawarkan lima pakej seperti berikut:
- Pakej Kongsi Rezeki iaitu agihan bantuan makanan iftar, sahur dan makanan asas kepada lebih 40,000 orang merangkumi keluarga asnaf, pusat kebajikan dan perlindungan, pusat warga emas, pusat-pusat tahfiz, rumah-anak-anak yatim, mahasiswa/mahasiswi, mangsa bencana dengan jumlah agihan RM900,000.
- Pakej Infaq Quran iaitu agihan Al-Quran dan Iqra’ secara percuma kepada 4,000 penerima manfaat dengan anggaran agihan berjumlah RM200,000.
- Pakej Ramadan Timur Tengah iaitu agihan pek makanan iftar, sahur dan makanan asas kepada 2,000 orang meliputi pelajar-pelajar Malaysia di Mesir dan Pelarian Syria di Lubnan dengan jumlah agihan RM400,000.
- Pakej 30 Hari 30 Sedekah dengan jumlah sumbangan minimum RM10.
- Pakej Cabaran 1,000 Bulan dengan jumlah minimum RM50 pada 10 malam terakhir Ramadan.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi akaun bank CIMB 8603221427 atau layari yayasanmaghfirah.org atau hubungi talian 011-6400 1649. — AlHijrah Online