Hanya dua restoran mamak ada sijil halal di Pahang

Datuk Mohd Ghazali (kiri) menyerahkan sijil halal kepada pihak dewan makan Maahad Tahfiz Pahang di Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan hanya dua restoran mamak di Pahang yang memegang sijil halal Jakim.

Dua restoran berkenaan ialah Taj Makmur di Jalan Tun Ismail, Kuantan dan Nasi Vanggey di Jalan Teluk Sisek, Kuantan.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengadakan kempen serta turun padang untuk memberi kesedaran kepada pengusaha restoran mamak serta kedai-kedai lain agar memohon sijil halal.

Kedegilan mereka berbuat demikian adalah kerana masih ramai pelanggan terutamanya orang Islam memenuhi premis mereka saban hari, dan keadaan tersebut langsung tidak memberi kesan terhadap keperluan memiliki sijil halal.

“Kita sedang usahakan supaya semua kedai mamak mendapat sijil halal tapi malangnya kurang mendapat sambutan. Setakat hari ini dua buah sahaja, satu Taj Makmur dan satu lagi Nasi Vanggey Jalan Teluk Sisik sahaja, yang lain belum.

“Pelanggan kedai mamak ini adalah muslim dan jarang sangat pelanggan (agama) lain, jadi kita mintalah kerjasama dari pengusaha kedai mamak supaya dapatkan sijil halal,” katanya kepada pemberita selepas hadir menyerahkan sijil halal kepada dewan makan Maahad Tahfiz Pahang, di sini.

Menurut Mohd lagi, proses permohonan sijil halal bukanlah rumit, pengusaha hanya perlu membayar RM200 bagi tempoh dua tahun pemilikan sijil halal dan membekalkan maklumat berkenaan bahan mentah serta memenuhi aspek kebersihan yang disyaratkan.

Malah JAIP juga bersedia untuk membantu sekiranya premis berkenaan tidak cukup kakitangan untuk urusan mendapatkan sijil halal.

Leave a Reply