MUJAHID SARAN SOLAT SUNAT ISTISQA SELEPAS SOLAT JUMAAT

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyarankan masjid-masjid di seluruh negara melakukan Solat Sunat Istisqa selepas solat Jumaat esok bagi memohon hujan mengurangkan jerebu yang semakin meruncing di negara ini.
Mujahid dalam kenyataannya di sini berkata sebagai seorang muslim, kita disarankan untuk berdoa agar segala masalah dan musibah yang melanda negara seperti jerebu dapat dikurangkan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua masjid mengadakan Solat Sunat Istisqa bagi memohon hujan dan mengurangkan jerebu.
“Semoga Allah memelihara negara ini daripada jerebu serta bencana tidak diingini,” katanya.
Jerebu melanda negara sejak awal bulan ini belum menunjukkan tanda-tanda semakin baik sekalipun operasi pembenihan awan dilakukan di beberapa negeri.
Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak akan teragak mengambil tindakan kepada syarikat Malaysia yang mengusahakan ladang di Indonesia yang menyumbang kepada masalah jerebu.

Di Jakarta, Presiden Indonesia, Joko Widodo turut mengakui kecuaian republik itu membuat persediaan bagi menghadapi kemarau yang menyebabkan kebakaran hutan menjadi lebih buruk sehingga menyebabkan jerebu di Asia Tenggara.
Terkini, semua sekolah di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Pulau Pinang diarah tutup hari ini dan esok oleh Kementerian Pendidikan dengan guru dibenarkan bekerja dari rumah. – AlHijrah Online