HUKUM VAKSIN HARUS DAN TELAH DISEMBAH MAKLUM KEPADA MAJLIS RAJA-RAJA

HUKUM VAKSIN HARUS DAN TELAH DISEMBAH MAKLUM KEPADA MAJLIS RAJA-RAJA

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020 telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ketetapan itu juga telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada pihak kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin.

“Penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya kaedah pencegahan melalui vaksinisasi dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada tahun 1988 hingga 2013, iaitu Pelalian Rubela (Imunisasi Rubela) (1988), Imunisasi Hepatatis B (1988), Imunisasi Campak, Tibi, Batuk Kokol, Dipteria, Tetanus Dan Polio (1989), Pelalian Vaksin Meningococcal Meningitis (2002 dan dipinda keputusannya pada 2014), Vaksin Human Papilloma Virus (HPV) (2010) dan Vaksin Meningitis Menveo (tahun 2013).

Justeru, dalam isu pengambilan vaksin COVID-19 ini katanya, ia adalah ketetapan oleh pihak kerajaan.

Hal ini kerana, pihak kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbangtara faktor-faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti. — AlHijrah Online

Leave a Reply