PGA7 RAMPAS DAGING AYAM BEKU RM98,400

KOTA BHARU: Pasukan anggota ‘Strike Force’ Batalion ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) berjaya merampas daging ayam beku bernilai RM98,400 di Kompleks ICQS Rantau Panjang, Pasir Mas, petang semalam.
Terdahulu PGA7 membuat pemerhatian terhadap sebuah lori jenis Hino berwarna putih yang membawa lebihan muatan dari kompleks tersebut.
Pegawai Pemerintah PGA7 Supt. Azhari Nusi berkata, anggotanya membuat pemantauan dengan mengekori lori tersebut sehingga Bonggol Kulim sebelum bertindak menahannya di tepi jalan.
Sebaik sahaja ditahan, pemandu lori tersebut diminta mengemukakan dokumen pengenalan diri dan invois berkaitan muatan barangan yang dibawa.
“Anggota memeriksa di bahagian belakang lori tersebut, mendapati terdapat kotak-kotak warna coklat yang berisi ayam sejuk beku.
“Setelah mendapati dokumen yang dikemukakan dengan kuantiti kotak di dalam lori tersebut meragukan, pemandu bersama lori kemudiannya ditahan dan dibawa pulang ke Komtak PGA Taman Bakti Rantau Panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lebihan kuantiti kotak yang berisi ayam sejuk beku dan tidak sama dengan dokumen yang dikemukakan.
Susulan itu, kesemua lebihan kotak yang berisi ayam sejuk beku dirampas manakala kotak yang berisi ayam sejuk beku yang telah diisytiharkan, dipulangkan balik kepada pemilik seperti mana jumlah yang dinyatakan dalam dokumen.
“Siasatan awal kami mendapati modus operandi mereka adalah dengan menyembunyikan barangan di sebalik kotak-kotak lain, di ruang belakang lori.
“Dokumen yang dibawa pula berbeza dengan jumlah sebenar di dalam lori, disyaki bertujuan mengelak daripada membayar cukai tambahan,” katanya.
“Kesemua barangan bersama pemandu lori berusia 24 tahun diserahkan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk siasatan lanjut. Keseluruhan rampasan termasuk daging ayam beku dan lori adalah RM368,400,” katanya.
–AlHijrah Online/ BERNAMA