ISU DAGING: KOMENTAR TANPA BUKTI KUKUH JEJAS KEPERCAYAAN SIJIL HALAL MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Sebarang komentar berhubung isu penyeludupan daging yang tidak disertakan dengan bukti yang kukuh dikhuatiri boleh menjejaskan kepercayaan terhadap pensijilan halal Malaysia di peringkat domestik dan antarabangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, isu berkenaan masih dalam siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan semua pihak diharap tidak memberi sebarang ulasan dan pandangan yang boleh menjejaskan kredibiliti kes.

“Perkara ini secara tidak langsung boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan boleh menjejaskan pengimport dan pengusaha industri daging negara yang telah mendapat pengesahan halal yang sah.

“Kerajaan Malaysia telah menetapkan bahawa pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada abatoir atau loji pemprosesan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) dan JAKIM,” jelasnya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Abdul Aziz, daging dan produk daging yang diimport masuk ke Malaysia juga perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

“Pengimport juga perlu mengemukakan bersama sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport dan kelulusan permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk ke pasaran negara ini,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai isu penyeludupan daging dan penyalahgunaan kuasa disaran melaporkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Berhubung isu penyeludupan daging, Abdul Aziz berkata semua pihak dimohon untuk menghormati proses tindakan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan beliau berharap pihak yang bertanggungjawab dalam kes ini dapat dibawa ke muka pengadilan– AlHijrah Online

Leave a Reply