Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

IJTIMAK ASATIZAH SATUKAN ALIRAN PEMIKIRAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

DALAM NEGARA

IJTIMAK ASATIZAH SATUKAN ALIRAN PEMIKIRAN AHLI SUNNAH WAL JAMAAH

Perselisihan yang berlaku turut melahirkan aliran-aliran yang kontradik antara satu sama lain, sekali gus melahirkan penyokong yang taksub sehingga mewujudkan bibit kafir-mengkafir yang amat berbahaya.

PUTRAJAYA: Isu-isu semasa, khususnya yang membabitkan aliran pemikiran yang menjadi polemik kebelakangan ini hakikatnya telah dibahaskan oleh para ulama terdahulu.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary bagaimanapun berkata, isu-isu dan konflik yang berlaku dalam kalangan agamawan, sama ada melibatkan isu baharu atau isu lama, sebenarnya adalah perkara yang diulang-ulang dan tidak berpenghujung.

“Isu-isu yang menjadi polemik saban hari ini kebanyakannya melibatkan perkara yang bersifat ijtihadi berasaskan dalil-dalil zhanni, bukan perkara yang disepakati mengenai hukumnya, bahkan telah dibahaskan oleh para ulama terdahulu.

“Sayangnya, konflik sebegini masih berlaku dalam kalangan agamawan sama ada melibatkan isu baharu, atau pun isu lama yang diulang-ulang tanpa ada kesudahan,” katanya.

Lebih mengecewakan, jelas Ahmad Marzuk, perselisihan yang berlaku turut melahirkan aliran-aliran yang kontradik antara satu sama lain, sekali gus melahirkan penyokong yang taksub sehingga mewujudkan bibit kafir-mengkafir yang amat berbahaya.

Justeru, Ahmad Marzuk menyifatkan Ijtimak Asatizah Malaysia 2022, dengan tema ‘Penyatuan dan Harmoni Aliran Pemikiran’ yang berlangsung Sabtu lalu adalah platform bagi menggalakkan penyatuan aliran pemikiran Ahli Sunnah Wal-Jamaah, terutamanya dalam merungkai perselisihan antara salaf dan khalaf.

Ijtimak berkenaan berakhir dengan mengemukakan tujuh resolusi:

  1. Menjadikan Ijtimak Asatizah Malaysia 2022 sebagai acara tahunan
  2. Mempromosi aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai satu pegangan utama
  3. Menjaga adab dan etika dalam beri pandangan dan guna media sosial
  4. Anjurkan persidangan meja bulat secara berkala dan tertutup dalam kalangan ahli
  5. Wujudkan program pendidikan kukuhkan perkara asas fardhu ain kepada masyarakat
  6. Wujudkan paltform maklumat khusus libatkan rujukan diiktiraf, sahih dan diyakini dalil
  7. Asatizah perlu berlapang dada atas perbezaan pendapat dan memperbetul tujuan dakwah sebenar

Menerusi hantaran itu, Ahmad Marzuk turut memetik kata-kata pendakwah tersohor Dr. Yusuf al-Qaradawi yang menitikberatkan sikap berlapang dada dalam berkhilaf dan berbeza pendapat.

“Banyak perkara yang mempengaruhi kefahaman manusia sehingga mereka berbeza pendapat seperti tahap pemahaman, situasi berbeza, kecenderungan jiwa dan pemikiran berbeza.

“Seorang yang tegas akan memahami nas tidak seperti seorang yang lembut memahami nas. Oleh yang demikian, warisan Islam terkenal dengan syada’id (ketegasan) Ibn Umar dan rukhsah (keringanan) Ibn Abbas. Adapun yang perlu dibantah secara sesungguhnya dan ditolak pembawanya, iaitulah mereka yang menolak nas-nas syarak yang muktamad dari sudut thubut (periwayatannya) dan dilalahnya (petunjuknya),” katanya.–AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Mohammad Zaim Bin Nor Zamani, Ketua Unit Kandungan Digital TV AlHijrah.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading