IMAM RAYU HENTI SEBAR VIDEO DAN GAMBAR KUBUR ‘BERDARAH’

ALOR SETAR: Imam Masjid Al Irfan Derga, Abdul Hadi Awang, 55, merayu kepada orang awam menghentikan penyebaran video dan gambar sebuah kubur di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan Derga yang didakwa ‘berdarah’.

Menurut Abdul Hadi, dia dan jemaah masjid terkilan dengan penyebaran video dan gambar kubur tersebut di media sosial kerana ia boleh mengundang pelbagai andaian dan mengaibkan jenazah berkenaan.

“Mengaibkan keluarga jenazah itu sendiri sedangkan dia orang bagus dan seorang cikgu. Dia banyak buat kebajikan pada masjid ini,” kata Abdul Hadi.

Tambah beliau arwah dikebumikan tiga minggu lalu dan meninggal dunia ketika berusia 78 tahun akibat sakit tua.

Menurut Abdul Hadi pihaknya mengesan cecair merah pada kubur berkenaan pada jam 11 pagi semalam dan menyedari ia mula tular di media sosial sekitar jam 5 petang.

Satu laporan polis juga telah dibuat Setiausaha masjid berkenaan, Yahya Saad, malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar agar siasatan dapat dijalankan.

Oleh itu beliau berharap keluarga Allahyarham bersabar dan bertenang kerana ia sudah menjadi kes polis.

Dalam pada itu, Pegawai Agama Daerah Kota Setar, Sheikh Ahmad Faisol Omar berkata, sehingga kini pihaknya sedang menunggu siasatan pihak polis sebelum mengulas lanjut mengenai isu terbabit.

Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah dilihat berada di perkarangan tanah perkuburan itu untuk melakukan siasatan. — AlHijrah Online

Leave a Reply