INDUSTRI TELEKOMUNIKASI NEGARA TAWAR INSENTIF SEMASA PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN

KUALA LUMPUR: Industri telekomunikasi negara menawarkan beberapa insentif kepada rakyat, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dari 18 hingga 31 Mac, bagi membolehkan penyaluran maklumat penting kepada rakyat, mengenai arahan itu dan situasi semasa wabak COVID-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata antara insentif yang ditawarkan adalah akses tanpa had untuk panggilan ke ‘Crisis Preparedness and Relief Centre’ (CPRC), selain talian tambahan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi memastikan perkhidmatan agensi-agensi itu beroperasi pada tahap yang optimum.

“Syarikat-syarikat telekomunikasi telah pun mewujudkan pelan kesinambungan perniagaan untuk memastikan rangkaian, aplikasi dalam talian dan perkhidmatan pelanggan, beroperasi seperti biasa biarpun negara sedang berhadapan dengan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata usaha itu adalah untuk memastikan keupayaan rangkaian komunikasi mencukupi, serta mengukuhkan prestasi rangkaian untuk menampung peningkatan penggunaan di sekitar lokasi kritikal, umpamanya klinik, hospital, balai polis dan pejabat-pejabat kerajaan.

Langkah itu juga membolehkan rakyat di negara ini terus mendapat akses kepada perkhidmatan untuk berkomunikasi, menjalankan perniagaan, selain mendapatkan maklumat dari sistem penyampaian kerajaan, sekali gus dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

“Ia membuktikan komitmen syarikat telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier, dalam memastikan perkhidmatan perlu dapat terus disampaikan kepada rakyat. Perkhidmatan telekomunikasi, penyiaran, serta pos dan kurier adalah antara perkhidmatan perlu atau ‘essential services’, yang disenaraikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Katanya selaku Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak industri telekomunikasi, penyiar termasuk Bernama, serta postal dan kurier, yang telah tampil dengan pelbagai inisiatif mereka, bagi membantu rakyat sepanjang tempoh ini.

“Penghargaan saya tujukan kepada pihak penyiar, kerana menawarkan perkhidmatan tambahan atau percuma pada tempoh ini dan menyampaikan berita penting dan pengumuman khidmat awam kepada masyarakat, mengenai wabak COVID19,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengajak rakyat Malaysia untuk memanfaatkan inisiatif-inisiatif yang ditawarkan, selain menggunakan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang disediakan oleh pihak penyedia perkhidmatan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac, dalam usaha mengekang penyebaran wabak COVID-19 yang telah mencatatkan 900 kes di negara ini sehingga semalam. — BERNAMA

Leave a Reply