INGKAR PKPP: 48 DITAHAN, TERMASUK 10 DI PUSAT URUT

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam menahan 48 individu kerana didapati melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk aktiviti refleksologi atau urut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penahanan itu hasil daripada 67,004 pemeriksaan semalam (19 Jun 2020) yang dilakukan PDRM bagi memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“PDRM telah menahan 48 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP. Daripada jumlah ini 40 individu telah direman dan 8 lagi dikenakan kompaun.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti refleksologi atau urut (10) dan aktiviti yang menyukarkan penjarakan sosial (38),” kata Ismail Sabri melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu beliau berkata, PDRM juga telah membuat 69 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 34,275 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan 10 warganegara asing di Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng atas kesalahan imigresen.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” menurut kenyataan dikeluarkan Ismail Sabri.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 25 jenis bekalan barangan di 822 premis perniagaan.

Secara keseluruhan katanya, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi. – AlHijrah Online / Zaim Zamani

Leave a Reply