INTEGRITI & KEMAKMURAN

OLEH: TUAN KAMARUL ARIEF TUAN SOH / KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YADIM

Saya dijemput pada 9 Januari untuk menyampaikan ucapan kepada hampir 1,000 orang penjawat awam dan kepimpinan masyarakat Daerah Muar bersempena Majlis Amanat Tahun Baharu Pegawai Daerah Muar. Sehingga kini saya saya masih hairan mengapa YB Dato Pegawai Daerah memberikan saya ruang tersebut kerana insaf dengan kekurangan diri dan yakin dengan banyak lagi tokoh yang sesuai untuk memberi ucapan terutamanya dalam topik integriti. Namun atas dasar memuliakan jemputan daripada seseorang yang saya hormati, maka saya gagahi juga diri ini untuk memberikan beberapa pandangan berkaitan tajuk tersebut.

Tajuk Integriti adalah tajuk yang malar segar untuk diperkatakan. Topik ini semakin mendapat tempat dalam perbincangan peringkat tertinggi dalam negara sementelah ia menjadi kalimah tumpuan YAB Perdana Menteri yang tegar mengungkap soal tatakelola yang baik, penentangan keras terhadap korupsi dan seumpamanya semenjak mengambil alih tampuk kepimpinan negara lebih sebulan yang lalu.

Integriti ini memang satu mauduk perbincangan yang sangat suka dikupas oleh ramai penceramah. Ya lah, dalilnya beratus kalau bukan beribu yang dapat dipetik. Iktibar dari sejarah juga tidak sedikit yang boleh dikisahkan semula. Bahkan jika dikitar semula naratifnya yang biasa didendang sejak puluhan tahun, ia akan tetap enak didengar tambahan pula sang naratornya boleh memukau. Tiada apa salahnya dalam hal ini selagi mana dalil yang digunakan itu sahih, iktibarnya tepat dan naratifnya relevan.

Namun hal ini jika berterusan, isu integriti dan kepentingannya akan kekal menjadi slogan yang sangat abstrak dan nostalgia yang sekadar enak untuk dikenang. Keyakinan terhadap peranan integriti ini juga akan kekal terbatas kepada pengamalan ajaran agama atau nilai moral semata-mata tanpa kesan yang substantif. Ini bercanggahan dengan pengajaran yang ditunjukkan sendiri oleh Nabi SAW yang berjaya membuktikan secara nyata bahawa pemerkasaan integriti adalah prasyarat kepada kejayaan negara yang dipimpin Baginda SAW. Demikian juga yang berjaya dibuktikan oleh Khulafa’ Ar Rasyidin selepas baginda.

Oleh yang demikian maka rakyat khususnya penjawat awam perlu diyakinkan bahawa ada korelasi kukuh di antara nilai integriti dan nikmat kemakmuran negara. Bahkan kedua-dua pemboleh ubah ini berkadaran terus yang membawa implikasi runtuhnya kemakmuran negara jika runtuhnya nilai integriti.

Maka dalam ucapan tersebut, selepas memberikan huraian dalil agama yang pelbagai, saya telah sertakan dua jadual yang mengkategorikan 10 negara tertinggi dan terendah mata pencapaian Corruption Perception Index yang menjadi proksi kepada kedudukan Integriti,Prosperity Index yang menjadi proksi kepada tahap kemakmuran dan nilai Keluaran Negara Kasar (GDP) Perkapita sebagai proksi kepada limpahan nikmat kemakmuran kepada rakyat. Kesemua pemboleh ubah ini dipetik dari 3 institusi berbeza untuk tahun 2021 iaitu Transparency International, Legatum Institute dan International Monetary Fund.

Dapatan daripada data-data imperikal ini menunjukan bagi negara-negara yang tinggi indeks kemakmurannya seperti Denmark dan New Zealand, 90 dan 87 mata, maka kedudukan intergritinya juga tinggi iaitu 88 dan 87 pada pencapaian indeks persepsi rasuah. GDP Perkapita bagi negara-negara kategori ini juga pada julat USD 45 ribu sehingga hampir USD80 ribu. Sebaliknya bagi negara-negara yang indeks kemakmurannya rendah seperti Somalia dan Sudan Selatan, 29 dan 30 mata, nilai integritinya juga berada 2 ke 3 kali ganda lebih rendah iaitu 9 dan 12 pada indeks persepsi rasuah. GDP Perkapita bagi negaranegara ini juga sekitar USD500 sehinggalah USD3000 sahaja. Lebih malang lagi dalam senarai 10 negara terendah untuk skor-skor tersebut, 5 daripadanya adalah negara umat Islam manakala bagi 10 negara terbaik, tidak ada satu pun negara umat Islam.

Walaupun masih terdapat perbezaan kesimpulan dalam menentukan hubungan antara kemakmuran dan integriti seperti yang berlaku diantara dapatan World Economic Forum (WEF) dan Organization for Economic Cooperation and Development (OECD), namun sekurang-kurangnya dapatandapatan ini menunjukkan trend yang berlaku dalam dua kategori negara-negara ini seakan mengesahkan wujudnya korelasi tersebut. Ini juga boleh memberi keyakinan kepada kita semua bahawa usaha peningkatan integriti itu bukan hanya bermaksud untuk kempen yang abstrak sasarannya bahkan boleh menterjemah hasil yang substantif kepada negara dan rakyat.

Selesai ucapan, saya ditemui oleh beberapa tetamu yang hadir memaklumkan pendekatan ceramah ber”angka” begini agak janggal bagi ceramah “Integriti” dan “keagamaan”. Namun mereka lebih menghargai pendekatan tersebut kerana ia bukan sahaja mengasak kesedaran nilai bahkan membibitkan keyakinan yang realistik dan praktikal.

Saya sekadar mengingatkan diri saya dan seluruh rakan-rakan penjawat awam, tidak cukup sekadar keyakinan dan kepercayaan terhadap agenda yang diperjuangkan oleh kepimpinan negara pada masa ini atas dasar berkhidmat untuk “goverment of the day”, namun sebaliknya usaha yang bersungguhsungguh perlu digerakkan untuk meraih hasil yang telah terbukti secara substantif dapat dicapai. Malaysia pada tahun 2021, berada pada kelompok pertengahan untuk skor-skor tersebut. Indeks kemakmuran kita adalah pada nilai 67 manakala indeks persepsi rasuah kita pada mata 48 dan GDP Perkapita pada nilai USD11,452. Ini bukan wasatiyah yang kita perlukan! Namun sekurangkurangnya kita sedar bahawa pilihan sama ada mahu melonjak ke atas atau menjunam ke bawah itu seimbang. Semuanya terserah kepada kita.

Mungkin juga surat pesanan Saidina Ali RA kepada Malik Bin Al-Harith AlAshtar, Gabenor Mesir pada tahun 658 H yang diungkap oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan tahun baharu baru-baru ini sesuai ditelaah dengan lebih lanjut oleh kita semua khususnya para penjawat awam. Antara dua pesanan Saidina Ali kepada Gabenor beliau ini dalam menyentuh soal perkhidmatan kepada rakyat ialah:

  • Jika kamu berlaku adil, kamu tidak boleh memisahkan diri daripada rakyat tetapi mendengar aduan mereka dan memenuhi kemahuan mereka.
  • Hendaklah kamu sentiasa beringat bahawa mereka yang di keliling kamu akan mengambil peluang mempergunakan kedudukan mereka untuk merampas apa yang menjadi hak orang lain dan melakukan ketidakadilan. Hapuskan kecenderungan seumpama itu.

Akhirnya, selain daripada keterkaitan antara kemakmuran material, satu perkara yang mesti kita hadami bersama sebagai manusia yang beriman adalah isu keberkatan. Keberkatan adalah nilai yang mungkin semakin menghilang dari kita semua. Buktinya, limpahan kekayaan tidak mampu menjamin kemakmuran, atau kehebatan kelengkapan fizikal tidak berjaya menzahirkan kesejahteraan. Kunci meraih keberkatan ini diterangkan sendiri oleh Allah SWT dalam Surah AlA’raf Ayat ke 96 ” Dan sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi ternyata mereka mendustakan (ayat-ayat Kami), maka Kami siksa mereka sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.”

PENULIS ADALAH KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YADIM

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply