ISRAEL PENJARAKAN 120,000 WARGA PALESTIN SEJAK PERJANJIAN OSLO

Rejim zionis Israel telah memenjarakan 120,000 warga Palestin sejak Perjanjian Oslo dimeterai di antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel pada September 1993.
Perkara itu didedahkan kelmarin oleh Middle East Monitor yang memetik pakar isu tahanan, Abdel-Nasser Ferwaneh, yang menjelaskan rejim Israel membina lebih banyak penjara baharu untuk menampung tahanan Palestin.
Abdel-Nasser berkata jumlah tahanan Palestin meningkat selepas Intifada kedua berlaku pada tahun 2000.
Beliau berkata tahanan warga Palestin itu meliputi golongan lelaki, wanita, warga emas dan kanak-kanak.
“Terdapat 2,000 tahanan wanita dan lebih 17,500 kanak-kanak ditahan rejim zionis Israel sejak Perjanjian Oslo,” kata Abdel-Nasser yang pernah ditahan di penjara Israel.
Abdel-Nasser mendedahkan rejim Israel juga menahan lebih daripada separuh ahli parlimen Palestin, beberapa menteri, ratusan ahli akademik dan petugas badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi antarabangsa dalam tempoh itu.
“Setiap tahanan terbabit sekurang-kurangnya menerima satu bentuk penderaan,” katanya Abdel-Nasser menjelaskan Parlimen Israel turut meluluskan 20 undang-undang yang menyasarkan warga Palestin.
Seramai 107 tahanan Palestin dilaporkan meninggal dunia di penjara rejim Israel akibat penderaan dan dinafikan rawatan perubatan, termasuk Bassam Al-Sayeh yang mati minggu lalu.
Ketika ini, diangarkan terdapat 5,700 warga Palestin ditahan di penjara Israel, termasuk 220 kanak-kanak lelaki, 38 wanita dan kanak-kanak perempuan, 700 pesakit dan 500 tahanan pentadbiran khusus. – Terjemahan AlHijrah Online