ISU KECURIAN NADIR BUMI DI SIK: SAIFUDDIN DAKWA SANUSI TERIMA SURAT KOMPAUN RM500,000

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail –FotoBERNAMA

GURUN: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta penjelasan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sama ada Menteri Besar Kedah itu telah menerima surat kompaun berjumlah RM500,000 berhubung dakwaan berlaku kecurian nadir bumi di Kampung Chong, Sik.

“Saya nak tanya Sanusi, sebagai Menteri Besar kamu juga Pengerusi MBI (Perbadanan Menteri Besar Kedah), saya nak tanya ada tak dapat surat daripada Datuk Fauzi Mustaffa Pengarah Tanah dan Galian Kedah pada hujung tahun lepas, surat yang mengkehendaki MBI membayar kompaun RM500,000 kerana mencuri nadir bumi di Kampung Chong, Sik.

“Kamu Menteri Besar, kamu Pengerusi MBI, kamu dapat kompaun, surat itu bertarikh 4 Okt 2022 bersamaan 8 Rabiulawal dialamatkan kepada Pengerusi MBI, kompaun di bawah Seksyen 246 Kanun Tanah Negara 1965, kejadian 2.30 petang pada 24 Sept, kejadian curi nadir bumi di Kampung Chong, Mukim Sik, Kedah,” katanya. 

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan itu berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Perpaduan MADANI Peringkat Negeri Kedah dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak semalam. 

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu.

Saifuddin juga berkata apa yang didedahkan beliau semalam hanyalah permulaan dan akan ada lagi siri pendedahan dengan dokumen lengkap berhubung perkara itu.

“Kita percaya rakyat Kedah cerdik, jangan pernah pandang rendah kebjiaksanaan rakyat Kedah, yang ini yakinlah kita akan turun dan terangkan dengan elok dalam siri penerangan kita, mudah-mudahan paling kurang 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (pada pilihan raya negeri) akan jadi kenyataan,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply