JAMBATAN GANTUNG DAIF LALUAN MURID KE SEKOLAH DI TUTUP

Sumber Gambar : BERNAMA

SANDAKAN: Jambatan gantung usang di Kampung Nelayan Tengah dekat sini ditutup sementara mulai hari ini sebagai langkah keselamatan.

Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung itu dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat atas arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang memutuskan jambatan berusia lebih 30 tahun itu tidak selamat digunakan sebagai laluan pejalan kaki.

“Sehubungan itu, ahli JPKK di Kampung Pampang dan Kampung Nelayan Tengah perlu memaklumkan kepada penduduk kampung masing-masing tentang penutupan jambatan gantung berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Berdasarkan laporan, penduduk kampung telah bergotong-royong menggantikan papan kayu yang disumbangkan oleh UMNO Bahagian Libaran, di laluan pejalan kaki di jambatan sepanjang kira-kira 150 meter itu sebagai langkah sementara semalam.

Memetik laporan Bernama, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Sungai Manila Isgau Abdullah pula berkata jurutera daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri bersama jurutera MPS dijangka membuat penilaian ke atas jambatan gantung itu esok bagi menentukan sama ada ia boleh dibaiki dengan kos RM100,000 yang telah dipohon dengan MPS atau perlu dibina semula dengan struktur lebih kukuh.

Jambatan gantung itu merentasi Sungai Batang menghubungkan Kampung Nelayan Tengah dengan Kampung Sibugal Besar, yang mempunyai sekolah, masjid dan kemudahan pengangkutan awam.

Tular gambar disiarkan Bernama pada Isnin lepas mengenai pelajar yang memulakan sesi persekolahan berdepan bahaya kerana terpaksa melalui jambatan tersebut untuk ke sekolah dan mengundang simpati warganet yang memohon pihak berwajib membaiki jambatan tersebut dengan kadar segera. —AlHijrah Online

Leave a Reply