KUALA LUMPUR: Seorang lagi jemaah haji warga emas meninggal dunia di Makkah, Arab Saudi, semalam, akibat serangan jantung.
Pemergian Allahyarham Yusoff Arshad, 83, yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang itu menjadikan jumlah jemaah Malaysia yang meninggal dunia di Makkah seramai 21 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Allahyarham yang merupakan jemaah dari KT096, Maktab 112 (Pengelola Jemaah Haji (PJH): TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS)) telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.25 pagi (waktu Arab Saudi) di Hospital King Abdul Aziz.
“Allahyarham telah ditemani anaknya Ahmad Yasir Yusoff di Tanah Suci. Pihak Tabung Haji telah menguruskan segala keperluan termasuk pengurusan jenazah.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga, khususnya anak-anak Allahyarham di Malaysia, semoga diberikan ketabahan dan kekuatan atas kehilangan insan tercinta.
“Marilah kita semua mendoakan semoga roh Almarhum dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.
Setakat ini, seramai 21 jemaah haji yang meninggal dunia bagi musim 1446H/ 2025M, termasuk 19 daripadanya disebabkan serangan jantung; seorang jangkitan kuman dan seorang jangkitan paru-paru.–AlHijrah Online