JENAZAH BAYI 38 MINGGU POSITIF COVID-19 SELAMAT DIKEBUMIKAN

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) berkongsi kisah tentang pengebumian jenazah COVID-19 termuda.

Menurut ciapan Twitter agensi agama itu, jenazah tersebut merupakan bayi lelaki berusia 38 minggu yang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, di sini.

Dalam bebenang tersebut memaklumkan bahawa ibu jenazah masih berada di unit rawatan rapi (ICU) selain bapa dan lapan orang adik beradiknya menjalani kuarantin di rumah.

“Ya Allah, sayu hati kami di keheningan malam tadi, kali pertama menerima jenazah COVID-19 termuda bayi lelaki berusia 38 minggu di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Kuala Lumpur-Karak, Taman Selaseh.

“Semoga dikurniakan ketabahan buat seluruh ahli keluarga. InsyaAllah, anak kecil ini menanti di syurga, memberikan syafaat buat kedua-dua orang tuanya di akhirat kelak,” dalam bebenang tersebut.

Jumlah jangkitan baharu positif COVID-19 hari ini merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 11,079 kes dalam tempoh 24 jam.

Kes kematian baharu akibat COVID-19 pula mencatatkan sebanyak 125 kes yang menjadikan jumlah kumulatif 6,385 kes.–AlHijrah Online

Leave a Reply